
"Cantik, bersinar dan bergemerlapan." Keistimewaan serta keunikan itulah yang mendorong orang ramai untuk menjadikan batu kristal sebagai perhiasan sama ada di rumah atau pejabat termasuk menjadi aksesori wanita yang pentingkan penampilan penuh gaya.
Selain menambah seri, batu kristal juga dipercayai mempunyai unsur penyembuhan dan 'tenaga' tertentu yang membawa kebaikan kepada pemakainya.
Menyedari nilai komersil batu kristal serta potensi pasaran di dalam dan luar negara, Gunung Keriang yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Alor Setar, kini menjadi tumpuan dan sumber rezeki sesetengah penduduk di sekitarnya kerana di dalamnya terdapat "harta karun" yang cukup berharga itu.
Presiden Majlis Tindakan Pelancongan Negeri Kedah (MTPNK), Datuk Othman Aziz berkata, batu kristal yang terdapat di Gunung Keriang mempunyai keunikan yang tersendiri dan mampu menjadi produk pelancongan yang menjanjikan pengalaman berbeza kepada setiap pelancong.

"Gunung Keriang akan dibangunkan sebagai Gua Kristal kerana kedudukannya yang terletak dekat dengan Muzium Padi dan Kampung Tradisional yang memang menjadi tumpuan pelancong.
"Ia akan diperindah dengan lampu hiasan serta pemasangan sebuah lif untuk membawa pengunjung masuk ke dalam gunung dan melihat sendiri batu kristal asli yang terdapat di dalamnya," katanya.
"Saya harap pembangunan Gua Kristal di Gunung Keriang juga dapat membantu menaikkan taraf ekonomi penduduk di sekitarnya, di samping mengusahakan tanaman sawah padi," katanya.
Batu kristal mempunyai pelbagai warna seperti putih, perang, merah, kuning, hitam dan biru cair. Kristal yang berwarna dikatakan lebih mahal berbanding batu kristal putih kerana kesukaran untuk mendapatkannya selain turut jarang ditemui.
Seorang pencari dan penjual batu kristal secara borong kepada peniaga dari dalam dan luar negeri, yang dikenali sebagai Pak Mud, 75, berkata, batu kristal juga boleh dikenal pasti jenisnya melalui tiga kategori iaitu, duri atau dikenali juga sebagai cubung kristal, bunga kristal dan bunga pokok kristal.
Duri atau cubung kristal dikatakan berbentuk seakan-akan duri yang bersegi-segi dan sedikit tajam di hujungnya, manakala bunga kristal pula berbentuk seperti bunga-bunga rumput yang halus yang tumbuh di atas hamparan permaidani.
Bunga pokok kristal pula mempunyai bentuk seperti pokok yang tumbuh di atas bukit atau gunung dan berbentuk seakan-akan bunga kubis.
Mohd. Saad Puteh menyiram koleksi batu kristal yang dikatakan boleh tumbuh dan hidup serta membawa tuah mengikut kepercayaan kaum Cina di gerainya di kaki Gunung Keriang.
Terdapat juga batu kristal jenis batu tukul, batu kristal air dan batu kristal batang. Batu tukul berwarna putih dan biasanya saiz batu tukul agak besar dan mudah ditemui.
Batu kristal air pula berwarna keperang-perangan dan sekali pandang kilauannya kelihatan seperti air yang mengalir di dinding gua.
Batu kristal batang juga dikenali sebagai batu 'laksek' dan berbentuk seperti sebatang kayu yang terpacak. Ia mempunyai tiga lapisan warna iaitu perang cair di bahagian bawah, perang muda di bahagian tengah dan perang pekat di bahagian atas sekali.
Batu kristal 'hidup'
Batu kristal yang terdapat di Gunung Keriang dipercayai yang terbaik dan dikatakan 'hidup', malah jika dijaga dengan baik dan diletakkan di tempat yang sesuai, ia akan tumbuh dan berkilau terutama apabila terkena cahaya lampu.
"Batu kristal yang hidup mengambil masa agak lama untuk tumbuh. Kadang-kadang memakan masa sampai bertahun.
"Yang penting pembeli perlu menyembur air bersih, seelok-eloknya dua kali seminggu untuk memastikan batu kristal yang sedia tumbuh, bercambah serta lebih berkilauan," kata penjual batu kristal, Tijah Yaacob, 60.
Katanya, air hujan atau air mineral adalah air yang paling sesuai untuk disemburkan pada batu kristal untuk memastikannya sentiasa segar kerana tidak mempunyai klorin seperti air paip.
Sementara itu, seorang lagi peniaga batu kristal Umi Kalsom, 45, berkata pembeli juga dinasihatkan agar menyimpan batu kristal di tempat yang sejuk dan elakkannya daripada terkena habuk bagi mengekalkan kilauannya.
Pelancong boleh mendapatkan Batu kristal Gunung Keriang dengan harga serendah RM4 hingga RM12,000 bergantung kepada saiz.
Seorang lagi peniaga dan pemborong batu kristal, Tan Soo Chaw, 47, berkata, masyarakat Cina menganggap batu kristal mempunyai 'feng shui' yang baik.
"Tetapi, batu itu perlu dijaga dengan sempurna dan diletakkan di kedudukan yang baik serta selalu dibersihkan agar kilauannya terpelihara," katanya.
Selain itu, batu kristal juga dikatakan baik untuk sistem pencernaan, melancarkan saliran darah, membantu menguatkan daya ingatan serta dipercayai dapat mengubati penyakit migrain.
Mencari batu kristal tidaklah semudah yang disangka. Sebelum masuk ke dalam gua di gunung, pencari batu kristal perlu menyediakan peralatan asas termasuk guni, penukul dan pahat.
Mereka juga perlu mempunyai kemahiran serta keberanian memanjat gunung dan ada ketikanya mereka terpaksa memanjat tangga yang disangkut pada dinding gunung yang curam untuk mendapatkan batu yang cantik dan berkilau.
"Selain kebolehan memanjat gunung, yang paling penting, kita mesti ada sekurang-kurangnya dua lampu suluh, ini kerana keadaan di dalamnya terlalu gelap. Apa-apa pun boleh jadi bila kita tak nampak apa yang ada di sekeliling kita," kata Zaidi Ahmad, 28, yang mempunyai pengalaman lebih sepuluh tahun.
Kesabaran dan semangat yang kental juga merupakan antara aspek penting ketika mencari batu kristal kerana pencari batu kristal terpaksa merangkak untuk masuk ke dalam terowong yang sempit, dan terpaksa menyusup di celah-celah dinding gua berbatu yang tajam. -- Bernama
kenapa dah lama tak update blog ni
ReplyDelete